Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) dengan gabungan beberapa NGO lain akan mengadakan satu perhimpunan aman Sabtu ini bagi melancarkan gerakan mengumpul tandatangan sejuta rakyat mendesak kerajaan Pas Kelantan menyerahkan pengurusan air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).
Presidennya, Azmi Ali berkata, perhimpunan tersebut adalah susulan penyerahan memorandum berhubung perkara berkaitan pada 4 Januari lalu.
“Kali ini kita akan lancarkan gerakan itu (mengumpul sejuta tandatangan) ke semua jajahan terutamanya kawasan yang terlibat dengan masalah air sebelum menyerahnya kepada pimpinan kerajaan negeri dalam satu himpunan yang lebih besar di hadapan pusat pentadbiran kerajaan negeri.
“Tindakan kita bukan berorientasikan politik tetapi berdasarkan aspirasi rakyat. Cukuplah untuk meletakkan rakyat negeri ini dalam kancah penderitaan, sudah lama kami bersabar berhubung masalah air ini,” katanya.
Katanya, Kerajaan negeri seolah-olah tidak mempedulikan isu rakyat terutama dalam masalah air sedangkan bantuan sebanyak RM600 juta bagi mengatasi masalah tersebut telah diberikan oleh Kerajaan Pusat.
Beliau mendakwa, tindakan kerajan negeri yang terus berdiam diri daripada menerima cadangan kerajaan Pusat supaya Span mengambil alih urus tadbir air selepas mereka gagal menyelesaikan isu tersebut telah menjadi tanda tanya banyak pihak selain menggambarkan keangkuhan kerajaan itu yang tidak mahu menerima pendapat orang lain.
“Saya kira jika Span mengambil alih urusan ini, sudah lama masalah air akan selesai dan rakyat tidak terus terbelenggu dengan masalah ini,” katanya.
Pada 4 Januari lalu tiga NGO dikepalai MTRK menyerahkan memorandum mendesak kerajaan Pas Kelantan menerima pelan cadangan Span untuk menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini.
Menerusi memorandum tersebut NGO berkenaan memberi tempoh dua bulan kepada kerajaan Pas Kelantan untuk menyelesaikannya kerana ia isu besar dan melibatkan kepentingan semua pihak terutama rakyat.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, perhimpunan yang bakal diadakan di padang berhampiran pusat beli belah Tesco dekat sini itu akan melibatkan 20 NGO negeri ini.
Beliau menjangkakan, 2,000 rakyat akan keluar pada hari tersebut bagi menyatakan kekesalan mereka terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang gagal melaksanakan amanah rakyat terutama dalam isu air walaupun telah diberi amanah sejak 21 tahun lalu.
Sumber : KKB
"Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing." Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah s.w.t.. Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini."
Monday, 20 February 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment