"Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing." Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah s.w.t.. Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini."

Friday 27 May 2011

Kami bukan 'pak turut' macam PAS yang ikut telunjuk DAP kata Chua Soi Lek..!

MCA bukan parti 'pak turut' yang dengan mudah menyertai sebarang demonstrasi atas nama demokrasi, kata Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Sebaliknya kata beliau, MCA akan mendalami makna 'demokrasi' yang dimaksudkan penganjur serta matlamat sebenar mereka.
"Saya mesti fahami terlebih dahulu demokrasi yang bagaimana dimaksudkan mereka kerana demokrasi satu pemilih satu undi kita sudah ada, undi itu sulit pun kita sudah ada. Kita mesti faham secara jelas, kita tak boleh jadi pak turut," katanya pada sidang media, di sini hari Khamis.

Dr Chua mengulas pelawaan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan agar parti komponen Barisan Nasional (BN) menyertai perhimpunan besar-besaran 9 Julai ini bagi menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.

Ditanya sama ada pihak berkuasa wajar menghalang demonstrasi itu, Dr Chua berkata perhimpunan tersebut harus dibiarkan berlangsung bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan bersikap terbuka selain menutup ruang ia dipolitikkan.

Mengulas perkembangan lain, Presiden MCA itu mengulangi pendirian bahawa parti tersebut tidak akan menerima jawatan dalam kerajaan jika mereka ditolak rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya walaupun pendirian itu menimbulkan kebimbangan pada kalangan badan bukan kerajaan dan persatuan masyarakat Cina, MCA tetap tegas dengan keputusan tersebut.

"Saya tekankan ini adalah keputusan sebulat suara yang dibuat oleh pucuk pimpinan MCA pusat yang mana kita buat rumusan bahawa kita hendak menghormati keputusan pengundi, kalau tidak menyokong kita maka kita tidak ada maruah, tidak ada hak untuk menjadi anggota pentadbiran," katanya.

Bagaimanapun katanya, MCA akan kekal sebagai komponen BN kerana parti itu yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"BN walaupun tidak sempurna sekurang-kurangnya kita nyata bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudah giat menjalankan aktiviti dari segi transformasi ekonomi dan kerajaan untuk mencapai Gagasan 1Malaysia, sebaliknya di sebelah sana bakal perdana menteri pun kita tak tahu siapa," katanya.

Berkenaan isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), beliau berkata MCA menerima sepenuhnya formula yang diputuskan kerajaan, namun berpandangan kuota 60 peratus untuk bumiputera itu perlu diteliti semula dan isu tersebut harus dibincangkan bersama rakan komponen.

Sumber berita : BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2011 by Sisa Dunia. All rights reserved.