"Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing." Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah s.w.t.. Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini."

Wednesday, 27 April 2011

Larangan Artis Tidak Bermoral di Selangor

Larangan Kerajaan Selangor untuk tidak memberi kebenaran kepada artis tidak bermoral di negeri itu dilihat satu lagi helah terbaik Kerajaan Pakatan yang diterajui PKR untuk memperlihatkan bahawa kerajaan bersungguh-sungguh ingin membanteras masalah sosial.


Tiap-tiap hari terpampang di dada akhbar Harian Metro memaparkan kelakukan sumbang yang berlaku di negeri Kedah khusunya di kawasan Sungai Petani. Kes khalwat dan rogol menjadi perkara biasa.

Begitu juga di Negeri Kelantan, terutama sekali di jalan hamzah sampai sekarang Kerajaan Negeri masih tidak dapat membendung kegiatan maksiat di negeri itu walhal dilabelkan dengan gelaran Serambi Mekah.

Tindakan penguatkuasaan secara berkala sekalipun belum tentu dapat membendung kegiatan tidak bermoral kerana ianya melibatkan cara didikan keluarga sejak dari usia kanak-kanak. Jangan asyik nak persalahkan kepada kerajaan tentang perkara ini kerana tanggungjawab utama sebenarnya terletak di bahu ibu bapa.

Kalau ibubapa pun tidak menncerminkan kehidupan mereka sebagai muslim apatah lagi untuk mendidik anak-anak menjadi baik.

"Kalau ayah kencing berdiri, anak pula kencing berlari"

Ini petikannya :...

SHAH ALAM - Artis sama ada tempatan mahu pun luar negara yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral tidak dibenarkan mengadakan persembahan terbuka di Selangor, kata Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Hasan Mohamed Ali.

Katanya, tindakan itu dibuat kerana melihat perkara itu akan memberi kesan negatif kepada masyarakat terutamanya golongan muda di negeri ini.

“Kita tidak akan memberi ruang (adakan sebarang persembahan) kepada artis sedemikian kerana perlakuan kurang bermoral yang dilakukan sebelum ini dilihat akan memberi kesan negatif kepada golongan muda terutamanya yang menjadikan artis sebagai idola mereka.

“Kita bimbang para remaja akan terikut-ikut perlakuan artis tersebut dan sekali gus menyebabkan perlakuan sumbang di kalangan remaja meningkat di Selangor.

“Oleh itu dengan cara seperti ini, ia sedikit sebanyak dapat membendung kegiatan sedemikian daripada terus merebak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perihal yang berlaku kepada penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti yang mengaku hamil empat bulan walaupun baru berkahwin pada 20 Mac lalu.

Mengulas mengenainya Hasan berkata, peribadi artis seperti itu tidak layak dijadikan contoh kepada generasi muda.

“Apa yang dilakukannya (mengandung luar nikah) itu adalah berdosa dan haram di sisi agama dan ini bukan contoh yang patut dicontohi oleh mereka (masyarakat).

“Kita tidak mahu anak-anak muda kita terlalu mengagung-agungkan personaliti seperti itu,” katanya.

Sebelum ini, Kris Dayanti mengakui dia kini hamil empat bulan dan berita itu mengejutkan seluruh masyarakat.

Kris yang bernikah dengan usahawan dari Timor Leste, Raul Lemos pada 20 Mac lalu menegaskan, hal itu sudah pun terjadi dan dia serta suaminya menerima sahaja keputusan itu dengan hati yang terbuka.

Katanya “benda ini (kehamilan) sudah terjadi. Kalau apa yang diberikan Allah ini tidak saya akui, nanti timbul pula cerita yang tidak betul. Kononnya, saya melakukan pengguguran,”.

Hasan berkata, pihaknya tidak menghalang sebarang persembahan hiburan tetapi ia haruslah memberi pendidikan kepada masyarakat.

“Setiap bidang ada pendidikan yang boleh disebarkan kepada masyakat, begitu juga dengan cabang seni malah kita akan beri ruang kepada persembahan berbentuk pendidikan.

“Kita tidak mahu sebarang hiburan yang boleh melalaikan umat dan menggalakkan maksiat di kalangan generasi muda negara. Sebarang persembahan seni yang jelas bertentangan dengan kehendak syarak seperti mengabaikan waktu solat, pergaulan bebas serta pendedahan aurat adalah haram,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2011 by Sisa Dunia. All rights reserved.